Friday 22 February 2013

Pencerobohan Lahad Datu: Kapal Tentera Filipina Buat Rondaan Bantu Pastikan Keadaan Stabil



LAHAD DATU: Enam kapal tentera laut Filipina telah dikerahkan ke laut Sulu dan Tawi Tawi untuk menghalang kemungkinan berlakunya pertumpahan darah di antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan bersenjata Sultan Sulu yang melakukan pencerobohan.

Kapal-kapal ini hanya menjalankan rondaan di perairan pulau Tawi Tawi, pulau yang terletak kurang daripada setengah jam dari kampung Tandau, di tepi pantai di mana kumpulan dari Sulu itu berkurung sejak 9 Februari lalu, dengan menaiki bot laju.

Jurucakap tentera laut Filipina Lt Gregory Fabic dipetik sebagai berkata memberitahu media di Manila bahawa kapal tentera laut itu tidak akan berlabuh di perairan Sabah tetapi berada di sana untuk membantu memastikan keadaan stabil.

Beliau berkata tiada arahan yang diberikan terhadap pemindahan kumpulan dari Sulu itu yang diketuai Raja Muda Azzimudie Kiram, abang kepada Sultan Jamalul Kiram III.

Sumber-Mstar Online

Kredit - KLIK SINI

Kenyataan Nik Aziz hina penerima BR1M


KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan, sebagai menghina rakyat yang memerlukan bantuan.

“Saya hairan dan takjub bagaimana seorang menteri besar dan pemimpin PAS yang sepatutnya berpegang kepada prinsip agama Islam boleh membuat satu kenyataan yang begitu menghina penerima bantuan, yang saya tahu jumlahnya amat ramai,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 oleh pengerusi-pengerusi penyelaras BN Sabah di sini semalam.

Katanya, penerima bantuan tersebut merupakan kumpulan yang dikenal pasti kerajaan benar-benar memerlukan bantuan dan pemberian BR1M dapat membantu mengubah kehidupan penerima ke arah masa depan lebih selesa.

Baru-baru ini, Nik Aziz berkata pemberian BR1M tersebut mendapat sambutan rakyat dan mengibaratkan penerima “sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari.”

Muhyiddin sedih golongan kurang mampu dipandang hina dan diperkecilkan oleh pemimpin PAS itu.

“Ini sesuatu (kenyataan) yang tidak harus keluar daripada (mulut) seseorang yang mengatakan dirinya tokoh agama. Lebih-lebih lagi agama Islam.

“Lepas itu, dia (Nik Aziz) mengeluarkan fatwa menghukumkan ini (pemberian bantuan) satu perbuatan yang haram dan bertentangan dengan agama,” katanya.

Muhyiddin berkata kenyataan Nik Aziz tersebut bercanggah dengan Islam dan harus disangkal oleh tokoh-tokoh agama lain.

“Amalan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah sesuatu untuk membela, membantu, satu kerja amal yang patutnya didukung dan disokong oleh sesiapa pun.

“Jadi, dia (Nik Aziz) sudah membuat satu kenyataan yang sudah cukup bercanggah dengan hukum Islam sebenarnya, satu kesalahan dari segi agama,” katanya. — Bernama

Kredit - KLIK SINI

Tiada Sebab Penjawat Awam Tukar Kerajaan – Cuepacs




KUALA LUMPUR – Penjawat awam tidak mempunyai sebab untuk menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana pertukaran itu belum mampu menjanjikan kemajuan dan kestabilan negara, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman.


Omar berkata hampir kesemua tuntutan mereka telah ditunaikan sekaligus membuktikan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa peka dan dekat dengan penjawat awam.


“Tidak ada sebab untuk menukar kerajaan yang sedia ada kepada pihak yang belum tentu dapat menjamin apa-apa.


“Tidak pernah satupun cadangan yang dikemukakan oleh Cuepacs kerajaan tolak. Sebagai contoh ialah tuntutan kenaikkan dua peratus wang pencen kepada pesara penjawat awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Cuepacs bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Cidb di Cheras pada Khamis.


Menurutnya, sokongan hampir 1.4 juta orang penjawat awam dan 500 ribu pesara sentiasa tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang dipimpin oleh Najib dan yakin perkara tersebut akan diterjemahkan di peti undi dalam Pilihan Raya 2013 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.


“Saya yakin 1.4 juta penjawat awam bersama dengan hampir 500 ribu pesara Cuepacs akan sentiasa menyokong kerajaan sedia ada.


“Penjawat awam dan Cuepacs adalah tiang seri kepada kerajaan dan yakinlah sokongan mereka akan sentiasa utuh kepada kerajaan,” ujarnya.


Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga berucap semasa perhimpunan tersebut menggesa penjawat awam supaya memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan.


Beliau berkata kumpulan tersebut juga bertanggungjawab dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan kepada masyarakat serta kunci utama kepada kemajuan dan pembangunan negara.


“Penjawat sektor awam adalah imej kerajaan, jadi mereka haruslah memainkan peranan yang penting dan berkesan terutamanya dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan,” katanya.
- Mstar

Kredit- KLIK SINI

Tiga Pemberita Al-Jazeera, Tiga Pemuda SAPP Ditahan Polis



KOTA KINABALU: Tiga pemberita dari rangkaian televisyen Arab, Al-Jazeera dan tiga individu daripada Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) ditahan polis berhampiran perairan Tanjung Labian, Lahad Datu kerana cuba menyelinap masuk ke kawasan itu, tempat sekumpulan warga asing bersenjata dikepung.

Enam individu dan seorang pengemudi bot ditahan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 8 pagi kelmarin setelah mendapati bot dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan selain menuju ke arah Kampung Tanduo, di mana sekumpulan warga Filipina bersenjata terbabit berkumpul.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika dihubungi kelmarin mengesahkan insiden berkenaan dan berkata tujuh individu telah ditahan kerana cuba memasuki kawasan berkenaan yang mana sedang dikawal sepenuhnya oleh pasukan keselamatan.

Beliau berkata, tiga pemberita dan tiga ahli SAPP sebelum itu dikatakan cuba memasuki kawasan terbabit dengan melalui jalan darat namun gagal lalu mereka bertindak mengupah seseorang untuk membawa mereka ke situ menerusi jalan laut.


Bagaimanapun, ketujuh-tujuh individu termasuk pengemudi bot terbabit telah dibebaskan sejurus butir-butir mereka diambil polis.

“Polis hanya menahan seorang daripada mereka ekoran daripada masalah dokumen perjalanan,” katanya.

Menurut sumber, tiga ahli SAPP terbabit dikatakan mengiringi pemberita luar negara berkenaan yang mahu mendapatkan liputan di Kampung Tanduo.

Kesemua mereka yang ditahan oleh anggota PGA itu difahamkan dibawa ke balai polis Cenderawasih berhampiran Tungku sebelum dibebaskan kira-kira jam 3.30 petang kelmarin setelah proses pengambilan butiran dilakukan.

Sementara itu, Hamza menasihatkan kepada orang ramai termasuklah pemberita tempatan dan antarabangsa serta mana-mana parti agar tidak memasuki kawasan itu atas faktor keselamatan.

“Biar kita (polis) yang lakukan kerja. Tumpuan kita adalah memastikan keselamatan orang ramai terus terjamin dan kita tidak mahu sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Kredit - KLIK SINI

Thursday 21 February 2013

Siti Nurhaliza Bertudung Bukan Untuk Berpolitik



 

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah berniat untuk bergiat aktif dalam dunia politik sebagaimana sesetengah artis wanita lain yang telah berhijrah dan menutup aurat.


Siti, 34, berkata, niatnya memakai tudung adalah ikhlas seperti mana dituntut oleh agama Islam dan bukan kerana faktor-faktor lain.


“Saya tidak pernah terfikir untuk bertudung kerana politik tetapi berniat untuk menutup aurat telah lama dibuat dan Alhamdulillah pada ulang tahun ke-34 Januari lalu hati saya telah dibuka Allah untuk berbuat demikian,” jelasnya kepada mStar Online.


Siti turut menjelaskan setakat ini belum ada pihak daripada mana-mana parti politik yang memintanya untuk menyampaikan ceramah di majlis-majlis tertentu dan tidak berniat untuk berbuat demikian.


Dalam pada itu, Siti turut menjelaskan komennya mengenai kehadiran penyanyi dari Korea Selatan, Psy yang terkenal dengan lagu Gangnam Style di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Pinang baru-baru ini hanya pandangannya sebagai anak seni dan rakyat biasa.


Siti menjelaskan beliau tidak pernah menolak kedatangan artis dari luar negara ke Malaysia namun pada masa sama artis tempatan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.


“Saya menghargai bakat-bakat dari luar negara malah tidak pernah menolak kehadiran mereka ke Malaysia namun pengiktirafan terhadap artis tempatan tidak boleh dipandang ringan.


“Alangkah baiknya jika ada pihak yang sanggup menaja untuk persembahan artis tempatan dengan nilai sama dan saya yakin bakat-bakat tempatan tidak kurang hebatnya,” jelasnya.


Siti juga berharap komen tersebut tidak dikaitkan dengan politik kerana ulasan tersebut sebagai luahan dan pandangannya sebagai anak seni yang telah lama berkecimpung dalam dunia nyanyian.


Dalam perkembangan lain, Siti akan muncul dengan persembahan Memori Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza bersempena Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 11 April depan.


Ia adalah persembahan pertama penyanyi itu selepas beberapa bulan berehat untuk menjaga suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya di New Zealand pada 13 Disember lalu.


Tiket dijual pada harga RM3,00 hingga RM5,00 untuk sebuah meja dan RM350 hingga RM550 untuk seorang.


Untuk keterangan lanjut dan tempahan tiket boleh menghubungi Farah Halim di 03-26889688 (sambungan 500) atau Rizal Van Geyzel di 03-26889688 (sambungan 253).


Sumber- KLIK SINI

Kadar kemiskinan terus berkurangan


KOTA KINABALU: Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2012 mendapati purata pendapatan isi rumah di Sabah tahun 2012 menunjukkan peningkatan sebanyak 29.4 peratus iaitu RM4,013 sebulan berbanding RM3,102 pada tahun 2009.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata peningkatan itu dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 8.6 peratus.

Menurutnya, purata pendapatan bulanan di luar bandar turut meningkat sebanyak 33.8 peratus daripada RM2,177 tahun 2009 kepada RM2,913 tahun 2012.

Bagi purata pendapatan bulanan di bandar pula katanya, meningkat sebanyak 22.7 peratus daripada RM3,803 kepada RM4,668.

“Kadar kemiskinan di Sabah terus berkurangan daripada 19.7 peratus bagi tahun 2009 kepada 8.1 peratus tahun lepas.

Bagi kadar kemiskinan di luar bandar, ia turut mencatatkan penurunan daripada 32.8 peratus kepada 12.9 peratus.

“Pengurangan juga dicatatkan bagi kawasan bandar dengan jumlah penurunan daripada 9.8 peratus kepada 5.3 peratus,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Rahamat berkata, corak pengagihan pendapatan di Sabah semakin bertambah baik dengan Pekali Gini menunjukkan pengurangan daripada 0.453 kepada 0.428.

Beliau berkata, ia mencerminkan corak agihan pendapatan yang lebih saksama dalam kalangan rakyat hasil daripada pelaksanaan inisiatif dan program pembangunan sosioekonomi yang lebih menyeluruh di Sabah.

Bagi negeri Sabah katanya, kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM24.8 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Ia untuk pelaksanaan program pembangunan termasuklah infrastruktur luar bandar serta program pendidikan dan bantuan rumah dibawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Peruntukan sebanyak RM293.5 juta turut diperuntukkan sebagai langkah khusus membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah,” katanya.

Menurutnya, sehingga Disember tahun lepas, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyalurkan sejumlah RM920.6 juta kepada 60,766 sahabat di Sabah.

Katanya, ia adalah untuk membantu rakyat termiskin menjalankan perniagaan di peringkat mikro.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Kredit - KLIK SINI

Tuesday 19 February 2013

Tiada kompromi ke atas hak dan keselamatan rakyat Sabah



KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan hak dan keselamatan rakyat negeri ini dalam menyelesaikan secara baik insiden pencerobohan warga Filipina di perairan Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah.

Beliau juga mengesahkan bahawa kumpulan terbabit bukan merupakan kumpulan militan atau pengganas, tetapi “oleh kerana mereka juga memegang senjata maka adalah penting apa juga tindakan yang diambil, ia tidak menjurus sehingga berlaku pertumpahan darah.

“Saya tengok kawalan di situ berada pada tahap yang membanggakan dan dalam proses kita untuk mengusir mereka ini, ia juga membantu keadaan.

“Yang penting sekarang banyak betul spekulasi dan khabar-khabar angin dan saya tahu maklumat yang sebenarnya dan saya mengesahkan sebahagian besar yang digembar-gemburkan di luar sana merupakan perkara yang tidak ada asas langsung,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dekat sini semalam.

Oleh itu, Hishammuddin mengingatkan orang ramai supaya tidak melihat insiden itu sebagai sesuatu yang boleh dipolemikkan atau dipolitikkan.

“Saya harap kita sabar kerana dari segi operasi, pihak berkuasa diberi mandat untuk memantau tetapi dari segi pendirian…itu amanah dan tanggungjawab kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan pergi ke Lahad Datu hari ini untuk melihat keadaan di sana.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan operasi yang dirancang itu berjalan lancar dan tidak ada insiden yang tidak diingini terutama yang melibatkan pertumpahan darah.

Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia bekerja rapat dengan kerajaan Filipina dalam menangani insiden itu.

Mengenai permintaan kumpulan penceroboh dari selatan Filipina itu untuk berjumpa personaliti tertentu, beliau tidak memberi butiran lanjut tetapi berkata rundingan masih dijalankan.

“Saya ingin menegaskan bahawa ia (insiden) bukan isu suku kaum dan ia tidak kena mengena dengan pendirian atau kedaulatan dan sebagainya.

“Tetapi dalam konteks kita, ini adalah bumi kita…ini adalah sesuatu yang menjejaskan keselamatan negara dan inilah yang kita tangani dengan bijaksana dengan cara tidak ada mana-mana nyawa terkorban atau tumpah darah di bumi kita,” katanya.

Ditanya perkembangan terkini rundingan dengan kumpulan warga Filipina itu, Hishammuddin berkata rundingan setakat ini menunjukkan betapa profesionalnya pasukan keselamatan negara.

“Kalau kita ambil tindakan, dari hari pertama sudah kita ambil tindakan namun dalam keadaan begini kita tidak mahu ada nyawa yang terkorban “walau apa jua sebabnya” di pihak mereka yang akan memberi kesan kepada kita.

“Sama ada insiden itu selesai dalam masa terdekat atau lama lagi, kita bergantung sangat kepada pihak-pihak (tentera, polis) yang lebih mahir dalam operasi ini,” katanya. — Bernama

Kredit - KLIK SINI

GM1M Zon Utara Ikrar Sokong Pelan Tranformasi Pendidikan Negara





Alor Setar – Lebih dari 5,000 orang guru muda berhimpun di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Kampung di sini bagi menerima amanat menjayakan gagasan transformasi bidang pendidikan di negara ini di sebuah program khas, Himpunan Guru Muda 1Malaysia, baru-baru ini.

Amanat yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin diterima baik serta disokong padu oleh guru-guru muda zon utara dari negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Beliau berkata, selaku guru-guru muda, mereka memainkan peranan yang penting untuk melonjakkan kualiti sistem pendidikan negara, selain bertindak selaku pihak yang menentu hala tuju sistem itu dalam tempoh tiga hingga empat dekad akan datang.

Mewakili 49.5 peratus dari jumlah keseluruhan pendidik di negara ini, Guru Muda 1Malaysia (GM1M) perlu memikul tangggungjawab mendidik anak bangsa pada tahap terbaik dan berkualiti, sekali gus mampu dimanfaatkan bangsa tanpa mengira kaum dan agama.

Sebelum itu, Muhyiddin turut mengadakan pertemuan tertutup dengan lebih 100 orang wakil GM1M bagi mengadakan sesi dialoq dan perbincangan menyeluruh mengenai sistem pendidikan dan masalah berbangkit.


Mengulas mengenai sesi tersebut, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan pertemuan bersama beberapa guru muda itu memberikan reaksi positif, khususnya dalam aspek berkaitan pembelajaran dan pengajaran di negara ini.

Justeru itu, beliau percaya bahawa semua warga pendidik terutama lebih 200,000 guru muda sedia memainkan peranan sebagai arkitek bagi memastikan setiap pelan transformasi diatur kerajaan ke arah itu mampu diterjemah.

Kredit - KLIK SINI

Friday 15 February 2013

BN Serius Dan Ikhlas Dalam Membela Nasib Rakyat


Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan menambah kadar jumlah kepada RM1,000 dilihat akan menyebabkan pimpinan pakatan pembangkang tersandar buat seketika. Ini kerana pengumuman tersebut secara tidak langsung akan menguatkan serta menambah keyakinan rakyat akan usaha kerajaan dalam membela rakyat secara keseluruhan.

Ia bukanlah janji kosong semata, kerana setelah mengambil kira pendapatan dan kewangan negara, kerajaan telah memutuskan untuk memberikan BR1M selama dua tahun berturut-turut. Pendekatan dan pemberian yang dilakukan oleh kerajaan BN itu dilihat telah mampu mengurangkan sedikit beban rakyat serta menepati golongan sasar yang benar-benar memerlukan bantuan.

Dengan kenyataan untuk meneruskan bantuan dan menambah pemberian tunai ini, di harap dapat membuka hati rakyat dalam menilai keikhlasan kerajaan untuk membantu masyarakat secara keseluruhan. Ini berbeza dengan pakatan pembangkang yang hanya tahu untuk berjanji semata-mata.

Lihat sahaja nasib yang menimpa rakyat Selangor, sebelum ini melalui manifesto yang dibentangkan ketika pilihanraya umum yang lalu, Anwar telah memberikan seribu satu janji. Namun setelah berjaya memerintah Kedah, Penang, Selangor dan Kelantan semua janji hanya tinggal janji seperti bantuan untuk iu tunggal dan pemberian air percuma.

Apabila janji tersebut dituntut, jawapan yang diberikan amat mengecewakan dan memeranjatkan mereka yang telah memperjudikan nasib dengan memberi undi kepada pakatan rakyat. Pimpinan pakatan hanya mampu mengatakan janji yang diberikan di dalam manifesto yang lalu, tidak semestinya perlu untuk dilaksanakan.

Sekiranya tidak perlu di laksanakan, apa perlu untuk mereka berjanji? Melainkan ia hanya sekadar untuk ‘mengula-gula’ mereka dengan kata-kata yang manis untuk menarik simpati dan undi rakyat. Lebih mengecewakan, Anwar hanya mampu menyalahkan kerajaan persekutuan sedangkan 4 negeri yang dinyatakan tadi ditadbir oleh mereka.

Cuba kita lihat, sebelum ini Anwar mendakwa kerajaan gagal membela dan membantu rakyat, namun apabila kerajaan bertindak untuk menyalurkan BR1M, mereka mendakwa ia hanya sebagai umpan politik.

Seperti kata pepatah “buat salah, tak buat pun salah” tetapi sudah menjadi lumrah untuk kerajaan menyalahkan kerajaan maka lebih dibiarkan sahaja dia terus memekik dan melolong kerana yang paling penting usaha kerajaan ini dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Rakyat seharusnya melihat BR1M ini dari skop yang lebih besar, selain untuk meringankan beban rakyat namun di masa yang sama ia bertujuan untuk mengerakkan sistem kewangan negara. Ini kerana dengan pemberian ini ia secara tidak langsung mampu memacu pergerakkan ekonomi domestic sekaligus harapan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020 akan dapat dicapai.

Tan Sri Muhyiddin di dalam kenyataan sebentar tadi turut menyelar pimpinan pakatan pembangkang yang sering menabur fitnah dan mengelirukan rakyat dengan pelbagai cerita. Sebagai contoh Anwar dan kuncu-kuncunya sebelum ini mengatakan kerajaan BN zalim, seksa rakyat dan sebagainya.

Sedangkan pada hakikatnya kerajaan sentiasa berusaha untuk memperbaiki perkhidmatan dan menunaikan pelbagai janji yang telah dibuat sebelum ini. Pelbagai pendekatan dan inisiatif yang diwujudkan dalam memastikan kebajikan dan nasib rakyat terus terbela.

Kesimpulannya, diharapkan rakyat sedar dan mampu menilai mereka yang benar-benar ingin membela nasib rakyat berbanding mereka yang hanya mahu membodohkan rakyat semata-mata untuk mengangkat martabat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Kredit - KLIK SINI