Thursday, 7 March 2013

Op Daulat: Perkara Tersirat Yang Rakyat Perlu Tahu



OPERASI Daulat atau Ops Daulat yang dilancarkan ketiga-tiga cabang dalam Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan polis semalam, merupakan satu sejarah baru dalam bidang peperangan di negara kita.

Walaupun pesawat pejuang pernah digunakan untuk mengebom kedudukkan pengganas komunis semasa era insurgensi dahulu tapi di era moden ini, inilah kali pertama pesawat pejuang canggih negara seperti FA 18D Hornet dan Hawk 208 digunakan untuk menghapuskan ancaman musuh.

Disamping itu, penggunaan pertama kali bom panduan laser atau biasa dipanggil Laser Guided Bomb (LGB) ini merupakan satu catatan baru dalam sejarah dalam bidang ketenteraan negara kita. Bom LGB Paveway seberat 500 paun yang digunakan semalam sebetulnya baru diperolehi pada 2011 dari syarikat Lockheed Martin, USA.



Bom ini sebenarnya tidak mampu memandu dirinya sendiri ke arah sasaran tanpa bantuan Ground LaserTarget Designation (GLTD). GLTD ini biasanya hanya dioperasikan oleh pasukan khas tentera udara, PASKAU yang perlu masuk ke dalam kawasan musuh untuk menandakan sasaran.



Dalam erti kata lain, sasaran tidak ditanda secara rawak sehingga ia boleh tersasar seperti yang didakwa ketua lanun Sulu, Azzumudie Kiram kepada abangnya, Jamalulail Kiram, setengah jam selepas serangan udara bermula pada 4 Mac 2013.

Hanya kerana ia tidak mengenai dan membunuh lanun-lanun Sulu tersebut, tidak bermaksud bom itu tersasar. Bom itu tdak tersasar, cuma sasarannya bukan lanun Sulu seperti jangkaan Azzumudie. Atau mungkin juga sasarannya mengena dan semua lanun berkenaan hancur berkecai sehingga sukar dikenal pasti.

Persoalan ini bagi menjawab persoalan ramai, pihak kenapa setakat ini pasukan keselamatan hanya berjaya menjumpai mayat 12 lanun Sulu yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan Komando VAT69 pada Jumaat lepas, yang turut mengorbankan 2 anggota mereka dan mencederakan 3 yang lain.

Ingat, proses menggeledah oleh pasukan khas keselamatan dari rumah ke rumah, masih belum selesai dan sama-samalah kita berdoa agar semua lanun-lanun terbabit mati dan tidak menyusahkan lagi rakyat negara kita.

Amin.

Kredit -KLIK SINI

Tubuh Suruhanjaya Tanah Dan Mahkamah Khas




KOTA KINABALU: Dalam usaha membantu menyelesaikan permasalahan hak tanah berkaitan Orang Asal di Sabah, Suhakam mengesyorkan agar Tribunal atau Suruhanjaya Tanah Orang Asal serta Mahkamah Tanah Hak Milik Adat ditubuhkan.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Sabah, Jannie Lasimbang berkata tribunal atau suruhanjaya itu perlu dianggotai oleh hakim-hakim yang bersara dan pakar dalam hak adat Orang Asal untuk menyelesaikan isu-isu dan aduan-aduan berhubung tuntutan Orang Asal yang diketengahkan.

Katanya, tribunal atau suruhanjaya berkenaan juga harus mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi aduan-aduan dan isu termasuk mencari penyelesaian yang sesuai.

Manakala penubuhan Mahkamah Tanah Hak Milik Adat atau mahkamah khas itu pula adalah bagi mengendalikan kes-kes tertangguh di Mahkamah Sivil.

Katanya, dengan sistem yang sedia ada, adakalanya satu-satu kes itu boleh mengambil masa selama 10 tahun untuk dibicarakan.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan syor-syor semasa Persidangan Meja Bulat dengan badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Orang Asal dan media berkenaan dengan hasil dapatan dan syor-syor daripada Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli di Malaysia, di sini kelmarin.

Penubuhan tribunal atau suruhajaya serta mahkamah itu adalah antara syor-syor yang dikenalpasti oleh Suhakam selepas menjalankan Pendengaran Awam melalui Inkuiri Nasional pada Jun 2012.

Jannie berkata, mekanisma pengantara atau timbangtara beras seperti Ombudsman juga perlu diwujudkan bagi membantu menyelesaikan pertelingkahan tanah.

Selain itu, bantuan guaman juga perlu disediakan untuk masyarakat bagi mendapatkan pembelaan dan keadilan melalui mahkamah.

Menurut beliau, Suhakam juga melihat akan keperluan untuk mengkaji semula dasar berkenaan dengan pembasmian kemiskinan untuk memastikan pengambilan tanah untuk program kemiskinan tidak akan melanggar hak tanah adat Orang Asal.

Jannie berkata, dalam pemberian pampasan pula, kajian semula mengenai peruntukan dan undang-undang mengenai pampasan dalam pengambilan tanah, termasuk kadar pampasan bagi tanah dan tanaman perlu dilakukan berdasarkan harga pasaran terkini.

“Kajian semula patut mengambil kira sumber mata pencarian dan keperluan lain masyarakat Orang Asal dalam tempoh peralihan seelepas tanah mereka diambil sehingga masalah mereka selesai.

“Seboleh mungkin, mereka patut diberi tanah gantian yang sama nilai dengan tanah yang diambil,” katanya.

Katanya, berdasarkan proses konsultasi dan pendengaran awam yang telah dijalankan pada Jun 2011 dan Jun 2012, dapat disimpulkan bahawa Orang Asal antara golongan yang terpinggir dan diketepikan di Malaysia.

Katanya, walaupun terdapat peruntukan-peruntukan yang mengiktiraf hak tanah mereka dalam Perlembagaan Malaysia, undang-undang tempatan dan antarabangsa, isu-isu yang menular telah menafikan hak mereka untuk menikmatinya di sisi undang-undang serta sudut hak kemanusiaan.

“Terdapat kekecewaan dan kemarahan yang amat mendalam di kalangan komuniti Orang Asal disebabkan kurang keprihatinan dan berlaku pelanggaran hak-hak mereka secarberterusan,” katanya.

Jannie berkata, terdapat juga keperluan untuk mengkaji sistem pentadbiran dalam membantu menyelesaikan isu berkenaan Orang Asal.

“Kajian semula ke atas Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) secara bebas dan komprehensif harus dilakukan memandangkan keseriusan aduan-aduan dan kelemahan-kelemahan yang nyata berhubung JAKOA dalam melindungi tanah orang asli sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Orang Asli 1954,” katanya.

Kredit -KLIK SINI

Friday, 1 March 2013

2 Komando Polis Terbunuh Bertempur Dengan Penceroboh

Lahad Datu - Dua anggota komando polis terbunuh selepas berlaku pertempuran di kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina, di Kampung Tanduo, Lahad Datu, siang tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib memaklumkan kejadian turut mengakibatkan tiga lagi anggota komando cedera.

Manakala di pihak kumpulan penceroboh - dilaporkan 12 angggota mereka terbunuh.

Menurut Datuk Hamza, kejadian berlaku kira-kira jam 9.59 pagi tadi dan berlarutan antara 20 hingga 30 minit.

Beliau juga mengesahkan kumpulan penceroboh itu melepaskan tembakan terlebih dahulu ketika pihak keselamatan sedang mengetatkan kepungan di lokasi persembunyian mereka di Kampung Tanduo.

Beliau turut mengesahkan merampas beberapa senjata antaranya M-16, pelancar roket, peluru dan beg pakaian.

Tiada perintah berkurung dikuatkuasakan di Lahad Datu setakat ini katanya kerana keadaan masih terkawal. 

Kredit - KLIK SINI

Friday, 22 February 2013

Pencerobohan Lahad Datu: Kapal Tentera Filipina Buat Rondaan Bantu Pastikan Keadaan Stabil



LAHAD DATU: Enam kapal tentera laut Filipina telah dikerahkan ke laut Sulu dan Tawi Tawi untuk menghalang kemungkinan berlakunya pertumpahan darah di antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan bersenjata Sultan Sulu yang melakukan pencerobohan.

Kapal-kapal ini hanya menjalankan rondaan di perairan pulau Tawi Tawi, pulau yang terletak kurang daripada setengah jam dari kampung Tandau, di tepi pantai di mana kumpulan dari Sulu itu berkurung sejak 9 Februari lalu, dengan menaiki bot laju.

Jurucakap tentera laut Filipina Lt Gregory Fabic dipetik sebagai berkata memberitahu media di Manila bahawa kapal tentera laut itu tidak akan berlabuh di perairan Sabah tetapi berada di sana untuk membantu memastikan keadaan stabil.

Beliau berkata tiada arahan yang diberikan terhadap pemindahan kumpulan dari Sulu itu yang diketuai Raja Muda Azzimudie Kiram, abang kepada Sultan Jamalul Kiram III.

Sumber-Mstar Online

Kredit - KLIK SINI

Kenyataan Nik Aziz hina penerima BR1M


KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan, sebagai menghina rakyat yang memerlukan bantuan.

“Saya hairan dan takjub bagaimana seorang menteri besar dan pemimpin PAS yang sepatutnya berpegang kepada prinsip agama Islam boleh membuat satu kenyataan yang begitu menghina penerima bantuan, yang saya tahu jumlahnya amat ramai,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 oleh pengerusi-pengerusi penyelaras BN Sabah di sini semalam.

Katanya, penerima bantuan tersebut merupakan kumpulan yang dikenal pasti kerajaan benar-benar memerlukan bantuan dan pemberian BR1M dapat membantu mengubah kehidupan penerima ke arah masa depan lebih selesa.

Baru-baru ini, Nik Aziz berkata pemberian BR1M tersebut mendapat sambutan rakyat dan mengibaratkan penerima “sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari.”

Muhyiddin sedih golongan kurang mampu dipandang hina dan diperkecilkan oleh pemimpin PAS itu.

“Ini sesuatu (kenyataan) yang tidak harus keluar daripada (mulut) seseorang yang mengatakan dirinya tokoh agama. Lebih-lebih lagi agama Islam.

“Lepas itu, dia (Nik Aziz) mengeluarkan fatwa menghukumkan ini (pemberian bantuan) satu perbuatan yang haram dan bertentangan dengan agama,” katanya.

Muhyiddin berkata kenyataan Nik Aziz tersebut bercanggah dengan Islam dan harus disangkal oleh tokoh-tokoh agama lain.

“Amalan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah sesuatu untuk membela, membantu, satu kerja amal yang patutnya didukung dan disokong oleh sesiapa pun.

“Jadi, dia (Nik Aziz) sudah membuat satu kenyataan yang sudah cukup bercanggah dengan hukum Islam sebenarnya, satu kesalahan dari segi agama,” katanya. — Bernama

Kredit - KLIK SINI

Tiada Sebab Penjawat Awam Tukar Kerajaan – Cuepacs




KUALA LUMPUR – Penjawat awam tidak mempunyai sebab untuk menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana pertukaran itu belum mampu menjanjikan kemajuan dan kestabilan negara, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman.


Omar berkata hampir kesemua tuntutan mereka telah ditunaikan sekaligus membuktikan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa peka dan dekat dengan penjawat awam.


“Tidak ada sebab untuk menukar kerajaan yang sedia ada kepada pihak yang belum tentu dapat menjamin apa-apa.


“Tidak pernah satupun cadangan yang dikemukakan oleh Cuepacs kerajaan tolak. Sebagai contoh ialah tuntutan kenaikkan dua peratus wang pencen kepada pesara penjawat awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Cuepacs bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Cidb di Cheras pada Khamis.


Menurutnya, sokongan hampir 1.4 juta orang penjawat awam dan 500 ribu pesara sentiasa tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang dipimpin oleh Najib dan yakin perkara tersebut akan diterjemahkan di peti undi dalam Pilihan Raya 2013 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.


“Saya yakin 1.4 juta penjawat awam bersama dengan hampir 500 ribu pesara Cuepacs akan sentiasa menyokong kerajaan sedia ada.


“Penjawat awam dan Cuepacs adalah tiang seri kepada kerajaan dan yakinlah sokongan mereka akan sentiasa utuh kepada kerajaan,” ujarnya.


Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga berucap semasa perhimpunan tersebut menggesa penjawat awam supaya memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan.


Beliau berkata kumpulan tersebut juga bertanggungjawab dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan kepada masyarakat serta kunci utama kepada kemajuan dan pembangunan negara.


“Penjawat sektor awam adalah imej kerajaan, jadi mereka haruslah memainkan peranan yang penting dan berkesan terutamanya dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan,” katanya.
- Mstar

Kredit- KLIK SINI

Tiga Pemberita Al-Jazeera, Tiga Pemuda SAPP Ditahan Polis



KOTA KINABALU: Tiga pemberita dari rangkaian televisyen Arab, Al-Jazeera dan tiga individu daripada Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) ditahan polis berhampiran perairan Tanjung Labian, Lahad Datu kerana cuba menyelinap masuk ke kawasan itu, tempat sekumpulan warga asing bersenjata dikepung.

Enam individu dan seorang pengemudi bot ditahan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 8 pagi kelmarin setelah mendapati bot dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan selain menuju ke arah Kampung Tanduo, di mana sekumpulan warga Filipina bersenjata terbabit berkumpul.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika dihubungi kelmarin mengesahkan insiden berkenaan dan berkata tujuh individu telah ditahan kerana cuba memasuki kawasan berkenaan yang mana sedang dikawal sepenuhnya oleh pasukan keselamatan.

Beliau berkata, tiga pemberita dan tiga ahli SAPP sebelum itu dikatakan cuba memasuki kawasan terbabit dengan melalui jalan darat namun gagal lalu mereka bertindak mengupah seseorang untuk membawa mereka ke situ menerusi jalan laut.


Bagaimanapun, ketujuh-tujuh individu termasuk pengemudi bot terbabit telah dibebaskan sejurus butir-butir mereka diambil polis.

“Polis hanya menahan seorang daripada mereka ekoran daripada masalah dokumen perjalanan,” katanya.

Menurut sumber, tiga ahli SAPP terbabit dikatakan mengiringi pemberita luar negara berkenaan yang mahu mendapatkan liputan di Kampung Tanduo.

Kesemua mereka yang ditahan oleh anggota PGA itu difahamkan dibawa ke balai polis Cenderawasih berhampiran Tungku sebelum dibebaskan kira-kira jam 3.30 petang kelmarin setelah proses pengambilan butiran dilakukan.

Sementara itu, Hamza menasihatkan kepada orang ramai termasuklah pemberita tempatan dan antarabangsa serta mana-mana parti agar tidak memasuki kawasan itu atas faktor keselamatan.

“Biar kita (polis) yang lakukan kerja. Tumpuan kita adalah memastikan keselamatan orang ramai terus terjamin dan kita tidak mahu sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Kredit - KLIK SINI