Thursday 21 February 2013

Kadar kemiskinan terus berkurangan


KOTA KINABALU: Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2012 mendapati purata pendapatan isi rumah di Sabah tahun 2012 menunjukkan peningkatan sebanyak 29.4 peratus iaitu RM4,013 sebulan berbanding RM3,102 pada tahun 2009.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata peningkatan itu dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 8.6 peratus.

Menurutnya, purata pendapatan bulanan di luar bandar turut meningkat sebanyak 33.8 peratus daripada RM2,177 tahun 2009 kepada RM2,913 tahun 2012.

Bagi purata pendapatan bulanan di bandar pula katanya, meningkat sebanyak 22.7 peratus daripada RM3,803 kepada RM4,668.

“Kadar kemiskinan di Sabah terus berkurangan daripada 19.7 peratus bagi tahun 2009 kepada 8.1 peratus tahun lepas.

Bagi kadar kemiskinan di luar bandar, ia turut mencatatkan penurunan daripada 32.8 peratus kepada 12.9 peratus.

“Pengurangan juga dicatatkan bagi kawasan bandar dengan jumlah penurunan daripada 9.8 peratus kepada 5.3 peratus,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Rahamat berkata, corak pengagihan pendapatan di Sabah semakin bertambah baik dengan Pekali Gini menunjukkan pengurangan daripada 0.453 kepada 0.428.

Beliau berkata, ia mencerminkan corak agihan pendapatan yang lebih saksama dalam kalangan rakyat hasil daripada pelaksanaan inisiatif dan program pembangunan sosioekonomi yang lebih menyeluruh di Sabah.

Bagi negeri Sabah katanya, kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM24.8 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Ia untuk pelaksanaan program pembangunan termasuklah infrastruktur luar bandar serta program pendidikan dan bantuan rumah dibawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Peruntukan sebanyak RM293.5 juta turut diperuntukkan sebagai langkah khusus membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah,” katanya.

Menurutnya, sehingga Disember tahun lepas, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyalurkan sejumlah RM920.6 juta kepada 60,766 sahabat di Sabah.

Katanya, ia adalah untuk membantu rakyat termiskin menjalankan perniagaan di peringkat mikro.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Kredit - KLIK SINI

No comments:

Post a Comment